Pages

3.6.11

~Moving...~

Notis pendek :-


One Piece of Mind dan segala isinya akan berpindah ke teratak baru....


InsyaALLAH lepas ni, apa2 update entri terbaru bolehlah dibaca di 



Jumpa di sana :) 


27.5.11

~Detikan hati..~

Dalam sedar mahupun tidak, saya sudahpun hampir menghampiri pertengahan perjalanan semester kedua saya. Minggu ni InsyaALLAH saya akan berhadapan dengan 3 exam untuk 2 posting, (MCQ dan OSCE Tropical Medicine, dan OSCE Paediatrics). 


Nak kata saya sibuk, saya pun tak tahu apa yang saya beria nak sibukkan. Cuma, dapatlah satu pengajaran, JANGAN TANGGUH APA2 PUN KERJA ATAU TUGASAN, KECIL MAHUPUN BESAR (caps lock, sebagai satu ayat penegasan kepada diri sendiri). Namun ALHAMDULILLAH, semuanya sudah selesai sekarang, cumanya tinggal nak study semula. Periksa dah tak lama lagi ni (tapi ingat, study bukan untuk periksa sahaja, study untuk masa hadapan juga).


Detikan hati.
Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, DIA MAHA Mengetahui segala isi hati (67 ; 13)
Pernahkah, kita hanya sekadar terdetik, ataupun hanya menyebut sahaja dalam hati, keinginan yang kita hajatkan. Tapi disebabkan faktor2 tertentu, kita tangguhkan  dulu hajat yang kita inginkan itu. Mungkin pada kita, hajat itu, IMPORTANT, BUT NOT URGENT


Namun, ALLAH MAHA Mengetahui. DIA tahu apa yang kita detikkan dalam hati. DIA tahu apa yang kita inginkan dalam fikiran. Dan DIA juga tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-NYA. 


Daripada apa yang kita detikkan dalam hati, ALLAH tahu, dan ALLAH aturkan perjalanan yang terbaik, untuk kita dapatkan hajat itu. Kadang2, ALLAH makbulkan hajat itu, dengan cara SURPRISE, yang tidak dijangka. 


Namun, adakalanya, tidak semua detikan hati, kita akan dapat semudah itu sahaja. Perlu diusahakan, dengan usaha dan doa yang berterusan ataupun istiqamah. Sebab, ALLAH tahu apa yang terbaik, dan juga masa yang terbaik, untuk kita semua peroleh apa yang kita hajatkan atau detikan dalam hati.


Berdoalah, moga kita peroleh hajat atau detikan itu, dalam keadaan penuh berkat dan rahmat.
Setiap kali kita berdoa, ALLAH s.w.t akan menjawab doa kita dengan 3 cara, samada ALLAH menjawab, "Ya, AKU perkenankan". Atau "Ya, AKU perkenankan, tetapi bukan sekarang". Atau "AKU sudah menyediakan sesuatu yang lebih baik buatmu". Sesungguhnya ALLAH tidak pernah cakap tidak.....(copy paste status FB seseorang).
Mohonlah, agar detikan hati itu, bukan bisikan nafsu, ataupun hasutan syaitan. Berdoalah agar detikan hati yang suci lahir dari dalam hati, datangnya daripada ALLAH s.w.t, untuk kita fikirkan, usahakan, dan diletakkan pergantungan kepada-NYA.


Wallahu'alam.


p/s - Buat adik2 ku yang tersayang, Arif dan Arah, selamat menghadapi peperiksaan akhir persediaan kalian. Moga ALLAH sentiasa bersamamu. Buat Qila dan Adik, selamat bercuti, dan manfaatkan cuti sebaik-baiknya. Buat Qila, tahniah atas 3 subjek yang Qila dah dapat, dan moga subjek2 yang lain juga diberikan kejayaan. Buat Adik, tahniah, kerana berusaha dalam pertandingan Amal Islami. Ingat, setiap surah yang Adik hafal, bukan untuk pertandingan semata-mata, tetapi buat bekalan diri Adik kelak.


p/s 2 - Selamat menghadapi peperiksaan, bagi juniors tahun 3, dan juga ahli Legions of Renowned Doctors. Rabbuna yusahhil dan all the best ;)

13.5.11

~Bayi itu..~

Tup tap tup tap, posting di Paediatric department sudah hampir tiba penghujungnya. Sungguh, banyak pengalaman yang kami semua kutip. Banyak juga yang kami pelajari, dan pelbagai ragam kanak2 yang kami jumpa. Ada yang datang minta khidmat rawatan, ALHAMDULILLAH, semakin sembuh, semakin sihat dan semakin ceria.


Namun, tidak juga terlepas, penyakit yang mereka hidapi, akan memberi kesan sepanjang hidup mereka. Ada juga, menurut Prof, jangka hayatnya, tidak lama. Terkedu dan tersenyap kejap, apakah perasaan ibu bapa mereka? Nak pula, itulah permata pertama buat mereka.


Bayi lelaki berusia 4 bulan tersebut, masuk ke hospital kerana jangkitan kuman pada peparunya (Bronchopneumonia). Masa kami masuk ke wadnya (bayi ni ditempatkan di Intermediate Care Unit, kerana tidak cukup tempat dan keadaannya tidak begitu kritikal untuk ditempatkan di Paediatric Intensive Care Unit).


Matanya celik memandang ibunya. Mungkin kerana keadaan nafasnya tidak begitu baik ketika itu, bayi ini bernafas dengan memakai mask.



Secara kasarnya, bayi ni kelihatan normal, seperti bayi2 yang lain. Tapi apabila diperhatikan betul2, kedudukan tangannya lain (seperti berpusing sedikit). Sepatutnya lehernya dah boleh disokong sendiri, tapi untuk bayi ni, lehernya perlu disokong dengan bantuan ibunya. Ototnya juga kelihatan sedikit ‘mengecut’, dan tidak banyak bergerak. Dan yang lebih mengejutkan, ketika bayi ni menangis (tangisannya tidak sekuat bayi yang normal), kami semua dapat lihat fasciculations (kontraksi kecil dan berterusan) pada lidah bayi ini. Menurut doktor resident kami, fasciculation ni, jarang sekali dapat dilihat (bermakna, penyakit ini adalah kes yang jarang berlaku). 


Seperti biasa, selepas ward round, tengok satu persatu kes yang ada, kami semua masuk semula ke kelas kami, membincangkan kes radang peparu yang si kecil ni tanggung. Dan akhirnya, setelah dibincang, radang peparunya berkemungkinan besar adalah kerana penyakit genetik (Werdnig-Hoffmann syndrome) yang ditanggungnya, menyebabkan semua ototnya lemah, termasuk otot pernafasannya, yang meninggikan kebarangkalian bayi ini menghidap radang peparu secara berulang.


Setelah bayi itu kembali semula ke wadnya, salah seorang rakan saya bertanya, apakah prognosis (jangka hayat atau tahap kesihatan) bayi ini pada masa akan datang. Prof hanya sekadar memperlahankan suara, dan kata, paling2 lama pun, dengan perhatian penuh ibu bapa bayi itu, dalam 2 tahun. Kalau tidak, mungkin lagi awal daripada itu.


Kami semua terkedu. Apakah perasaan si ibu, perasaan ahli keluarganya, perasaan doktor yang bertanggungjawab menyampaikan hal ni, perasaan bayi itu??? 


Bukan senang, untuk menyampaikan perkara sebegini, nak pula bayi ini adalah permata hati yang pertama. Kami dapat lihat betapa sayang dan penuh kasih si ibu menjaga anaknya, tidak seperti ibu2 yang lain. Moga ALLAH memberikan kemudahan kepada keluarga ini, dan moga bayi kecil itu tabah menghadapi dugaan kesakitannya (meskipun bayi ini tidak memahami apa2).


Banyak lagi kanak2 lain yang senasib dengan bayi itu, cuma bukan penyakit yang sama. 


Ada seorang bayi Down syndrome, yang dibawa masuk ke kelas kami, untuk kami semua lihat general features pada wajahnya. Dalam masa yang sama, noda limfa nya membesar. Rupanya, bayi ini menghidap Leukemia (cancer sel darah putih). Tapi, bayi ni, memberi kenangan yang paling manis kepada saya. Mula2 masa Prof cek dia, dia menangis. Kemudian, saya cuba agah2 dengan bayi ni sementara doktor cakap dengan ibunya. Agah2, bayi ni cuba ajuk balik agahan saya. Kami semua, waaaa, excited. Kemudian saya agah lagi, petik2 jari, dan yang paling saya tak boleh lupa sampai ke sekarang, SENYUMAN yang SANGAT MANIS . Sedih juga apabila mengenangkan, keadaan dirinya pada masa akan datang, dengan rawatan yang kadang2 agak menyakitkan bagi mereka.


Untuk merawat mereka yang bergelar kanak2, memang akan timbul rasa belas apabila terdengar tangisan sakit mereka. Namun, itu semua, perlu dihadapi, kalau tidak sekarang, masa akan datang nanti InsyaALLAH. Hati kena kuat, dan tabah. 


Setakat ini sahaja dahulu sedikit coretan dan pengalaman yang ingin dikongsi. Penerangan tentang penyakit2 yang disebut di sini akan diulas dalam entri2 akan datang InsyaALLAH, jika diberi kesempatan waktu. 


p/s - Posting Paediatric akan habis hari Selasa ni (T_T) . InsyaALLAH akan sambung posting ke Tropical Medicine Department pula. Doakan kami semua ;)


p/s 2 - Selamat menghadapi imtihan buat juniors dan juga seniors. Rabbuna yusahhil dan All the Best ;)


p/s 3 - Genetics, is always a mystery, and only HE knows the answer for what HE gives to HIS creations in this world.

1.5.11

~Menuju jiwa yang tenang..~

Pernahkah, dalam diri, berlaku monolog seperti.....


"Oh, baiknya akak tu. Alangkah bestnya dapat jadi sebaik akak itu. Tapi, aku, banyak sangat dosa. Kalau aku nak berubah jadi sebaik itu, mesti kawan2 aku tak nak geng dengan aku dah. Mesti diorang perli2 aku. Lagipun, aku tak layak nak jadi sebaik itu. Dahlah aku ni bla bla bla (rekalah cerita sendiri ye). Aku ni pun muda lagi. Enjoy la dulu2. Sampai masa nanti, barulah aku berubah jadi sebaik akak tu......" (maaf, tak ada modal nak buat ayat apa).


Ok, balik semula ke monolog tadi, harapnya, sahabat2 dapat lihat, dalam monolog ini, berlaku krisis antara 'dua orang' dalam satu jasad. Pernahkah terfikir, mengapa ni semua berlaku? Apakah di sebalik semua itu? 


Jawapan yang sebenarnya, ini semua adalah fitrah yang berkaitan dengan asal usul kejadian kita.


Hakikat asal kejadian kita, fizikal biologi kita, daripada tanah, yang ada di bumi, atau dunia ni. Yang kita pijak tiap2 hari (mungkin dah dilapisi simen atau jalan tar). Tanah ni bersifat materialistik dan juga duniawi. 


Dalam masa yang sama, dalam tanah yang menjadi jasad kita, dihembuskan elemen suci oleh ALLAH s.w.t, iaitu roh. Roh yang suci, bersifat ulung yang sentiasa mengajak manusia naik ke tempat yang lebih tinggi, merindukan kebaikan, kesucian dan keabadian.


Jadi, pergolakan internal, yang berlaku dalam diri kita, adalah fitrah, kerana tanah dan roh, adalah sebahagian dalam diri kita. Dan di antara roh, dan juga jasad (nyawa), terdapat jiwa atau an-nafs. Apa pula peranan jiwa??


Jiwa, mempunyai sifat dualisme. Boleh jadi, ianya bersifat baik, mahupun sebaliknya. Yang boleh membawa kita menuju pencerahan, mahupun yang membawa kepada penghancuran.


Serta mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketaqwaan. Berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih, bertambah-tambah bersih. Hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (Surah asy-Syams, 8-10)


Dan antara dualisme ini, berlaku tarik menarik. Tarikan pertama, tarikan insan, yang diwakili oleh organ otak (fikiran yang rasional dan hati, bukan hati organ tu, hati dalaman rohani kita). Manakala tarikan kedua, tarikan syahwat, yang diwakili organ perut dan bahagian kelamin. 


Kalau tengok pada fizikal manusia, kepala di atas, kaki di bawah (cephalo-caudal). Cuba fikirkan semula perenggan saya di atas, di manakah kedudukan organ2 bagi dua tarikan jiwa itu tadi? Jadi, sepatutnya, apa yang di atas, itulah yang patut kita utamakan, kan? SUBHANALLAH, betapa hebatnya kita makhluk ALLAH yang bergelar manusia, ataupun nama saintifik, homo sapiens.


Cuba perhatikan haiwan, sebagai contoh paling senang, kucing. Bagaimana pula dengan kedudukan kepala sehingga ke ekornya? Bagaimana pula kedudukan organ2 itu tadi, setara kan? Ataupun mungkin, kepalanya tinggi sikit je banding badan. Cuba perhatikan tingkah laku kucing? Dapatkah dia membezakan prioritinya, antara moral dan syahwatnya?


Pergolakan internal yang berlaku dalam diri ini, perlu dimenangkan oleh diri kita sendiri, supaya kita layak digelar sebagai manusia. Kita sendiri perlu menjadi 'raja' untuk diri kita.


Namun dalam pergolakan ini, Quran telah menegaskan, yang kita akan cenderung kepada sesuatu yang kukuh dan benar. ALLAH, ketika mencipta kita, telah memahat dalam hati untuk cenderung mengenali-NYA dan selalu merindukan kebenaran jauh di lubuk nurani.
Terdapat satu bahagian dalam diri ini, yang tidak dapat ditakluk oleh kenikmatan dunia. Ini kerana ada roh yang sentiasa mengajak ke arah kebenaran.


Namun perlu diingat, Rasulullah juga menjelaskan sifat dasar manusia adalah 'makhluk yang pelupa' (An-Nas).


Setiap anak Adam pembawa kesalahan dan sebaik-baik yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.


Semua pasti tahu, kisah Nabi Adam yang diturunkan ke bumi, dikeluarkan dari syurga atas satu kesilapan. Namun, sebenarnya, kehidupan di bumi, yang dikira sebagai tempat kita menumpang. seolah-olah seperti pengembaraan sebagai persediaaan untuk kita kembali ke tempat asal kita di syurga InsyaALLAH. Memang fitrah diri kita, yang merindukan tempat asal kita. Dalam dalaman rohani kita, amat merindukan syurga, tempat asal Nabi Adam, yang juga manusia.


Analogi untuk kita kembali ke tempat asal kita, sama juga seperti diri saya, dan juga sahabat2 yang berada di perantauan. Paling2 tabah pun diri masing2, takkan terlepas daripada perasaan home sick. Rindu untuk pulang ke tempat asal, di samping keluarga.


Begitu juga bayi yang baru lahir. Apabila ibunya, jauh daripadanya, dirinya mula resah dan menangis. Bagi sahabat2 yang dalam posting Paediatrics sekarang, cuba anda 'bawa lari' bayi dalam sebulan atau dua bulan daripada ibunya (kalau korang beranilah..hehe). Bagaimana agaknya reaksi baby tu? Apabila bayi itu berjauh dengan ibunya, datang si ibu, mendakapnya dengan penuh kasih sayang. Biasanya, si ibu akan dakap anak kecilnya, betul dekat dengan jantungnya. Dan yang mententeramkan bayi itu tadi, adalah irama merdu degupan jantung ibunya. Kerana ketika dalam alam rahim, itulah irama yang bayi itu dengar, sebelum saat kelahirannya ke dunia. Lagipun, bayi kecil ini tak akan kenal ibunya paling lambat dalam usia 6 bulan. Jadi, yang meyakinkan dirinya berada dalam dakapan ibunya, adalah irama degupan jantung ibunya itu.


Namun, terdapat juga sebahagian daripada manusia, yang cuba 'menidakkan' hakikat tempat kembali itu. Yang cuba 'menidakkan' bisikan roh dalam diri. Mereka ini, adalah antara yang disebut sebagai golongan yang sesat. Seperti orang yang tidak tahu masa dan tempat. Dan, kebiasaannya, orang yang sesat ni, akan menderita, dan dalam kesusahan (kelaparan, kepenatan, ketakutan), sehinggalah bertemu semula dengan jalan keluar untuk kembali ke tempat asal. Begitulah juga buat mereka yang 'tersesat' jiwanya, mungkin kerana 'terikut' tarikan syahwat. WALLAHU'ALAM.


...Ketahuilah dengan ZIKRULLAH (mengingati ALLAH) itu, tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah ar-Ra'd; 28) 
Sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-KU, adalah baginya kehidupan yang sempit dan KAMI himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha; 124)


p/s - Entri kali ni disimpulkan, diolah, dan mungkin ada sedikit copy paste daripada sub bab Menuju Jiwa yang Tenang, bab Dalam Jiwa yang Sihat Terdapat Raga yang Kuat, buku Mengapa Rasulullah s.a.w Tidak Pernah Sakit, tulisan Dr Adi Hashman, keluaran PTS.

23.4.11

~Paediatrics..~

ALHAMDULILLAH, setelah sekian lamanya 'study leave' kami, akhirnya 2 minggu lepas, kami semua bolehlah merasa 'kemerdekaan' yang telah sekian lama kami semua nantikan. Walaubagaimanapun, apa jua keputusannya, ALLAH sahaja yang tahu, apa yang terbaik buat kami semua. Sesuai dengan berkat usaha kami semua selama ni. Debar juga menantikan keputusan yang belum pasti bila akan keluar, namun, moga doa dan tawakkal kami tidak putus2, sehinggalah hari keputusan keluar nanti.


Paediatrics = Perubatan Kanak2. Bagi yang tak berapa dengan kanak2, mungkin tidaklah begitu terasa apa2 sangat. Tapi bagi yang suka kanak2, memang mudahlah nak 'cair' dengan telatah dan gelagat manja mereka semua. Tapi, samakah gelagat kanak2 yang sihat walafiat, dengan kanak2 yang terlantar sakit, kadang2 sampaikan bernafas pun memerlukan bantuan alat pernafasan??


Aturan jadual untuk posting kali ni, terbalik berbanding posting lain. Clinical round (jumpa pesakit) pada waktu pagi, manakala kuliah pada waktu tengahari. Jadi, sampai2 bilik kelas yang berhadapan dengan wad kanak2 pada waktu pagi, bolehlah dengar tangis teriak mereka. Mungkin baru lepas kena cucuk ubat dengan nurse2. 


Tapi, ada juga yang sakit2, tetap cergas dan aktif. Macam adik Amir (8 tahun), yang kami jumpa minggu lepas. Dapat je hammer (jangan risau, hammer untuk doktor tak sebesar hammer untuk bertukang), terus dia main membayangkan seolah-olah dia bertukang. Sentiasa tersenyum dan tergelak, meskipun hakikatnya, dirinya sedang menanggung kesakitan yang mungkin dia sendiri tidak sedari (katanya adik ni sedang tunggu donor untuk transplantation), dan menanti penawar untuk menyembuhkannya.


Tips untuk memikat hati kanak2, gula2, biskut, jus, dan mainan. Ye, mungkin memang itulah pemikat hati untuk jangka masa pendek (untuk dapatkan kerjasama buat examination), tapi yang sebenar2 pemikat hati kanak2 ni ialah, perhatian dan kasih sayang. Nak pula tengah sakit, lagilah inginkan perhatian, terutama sekali ibu2 mereka di sisi. Rata2 semua kanak2 di wad, ditemani oleh ibu masing2. Rasa macam jarang nampak gerangan ayah, mungkin sebab waktu pagi, ayah2 semua pergi mencari nafkah menyara keluarga.


Berhadapan dengan kanak2, memang seronok, sebab mereka ni comel, manja dan banyak keletah, tapi hakikatnya, tak semudah itu. Yang masih kecil bayi, perlu dijaga dan diberi perhatian sentiasa, khuatir terjadi apa2 kemalangan yang tidak diingini. Apabila dah mula dapat 'mulut' (dah pandai bercakap), dan dah mula pandai bertanya, masa nilah kritikal untuk kita berikan perhatian.


Walaupun mungkin, pada kita, "ala, korang budak2 lagi, tu semua hal orang dewasa..", jawapan itu cukup menunjukkan, yang kita tidak tahu apa2. Masa ni, apa yang mereka nampak, dengar, rasa, alami, semua itu akan menjadi persoalan. Dan tempat untuk ditujukan soalan2 mereka, adalah kita, yang sudah ada pengalaman, ilmu, dan sudah dewasa.


Pernah sekali, adik kecil saya, kalau tak silap masa dia darjah 2, tanya soalan pada saya, "Kenapa Nabi Adam manusia pertama di dunia??". Ketika itu, saya, terkejut. Tetapi, saya cuba juga jawab soalan, cerita serba serbi kisah Nabi Adam yang diturunkan dari syurga ke bumi kerana kesilapan baginda. Dan ketika itu, saya tersedar, Adik sudah mula pandai berfikir dan membuat persoalan. Sejak itu, apa jua soalan yang Adik tanya, saya akan cuba jawab. Terdetik rasa sedih, sekiranya saya tak dapat nak jawab, sebab Adik dalam fasa belajar mengenal dunia. Sebagai kakak, dan juga saya pasti harapan Abah dan Mak juga, mahukan yang terbaik untuk perjalanan kehidupan masa hadapannya kelak.


Care, as they are your own...


Quote daripada Dr Doaa, pada hari pertama posting kami. Jadi, tugasannya, tidaklah semudah yang disangka. Bukan setakat gula2, biskut, jus semata-mata, tapi perhatian buat mereka. Itu yang penting buat kami semua yang sedang posting dalam Paediatrics. Minggu pertama round ni, InsyaALLAH boleh tahan lagi, sebab sekadar belajar perkara asas. Minggu hadapan, mungkin lebih mencabar, sebab dah mula ambil cases tertentu kanak2 di sini.


Moga urusan belajar kami dipermudahkan oleh-NYA...Amiin ;)

Kanak2 comel.... Adik (yang bertudung)..anak Kak Long Ilman (yang pakai baju putih), anak2 Abang Apis (Adif dan Damia)....Raya kedua 2010... ;) (ni semua anak sepupu, kecuali Adik saya..hehe)


p/s 1 - Perasaan nak jadi Paeditrician @ Pakar Kanak2 membuak-buak sejak masuk posting ni. Moga ianya menjadi nyata, suatu hari nanti, seandainya dikurniakan usia yang panjang, InsyaALLAH.


p/s 2 - Umur pesakit yang boleh dirujuk ke wad Paediatrics adalah dari sejak lahir sehingga umur 18 tahun (bukan setakat kanak2 kecil je ye).

22.4.11

~'Surprise' Mak..... :) ~

Mak, Abah, nanti sebelum mainkan lagu ni, pause dulu lagu yang de kat blog Tin, kat bawah tu ye.


Mesti Mak rindu nak dengar lagu ni (teringat masa cuti Mak menyebut dah lama tak dengar lagu ni.)




p/s - Nanti Tin emelkan ke Abah mp3 dia. Leh minta Abah pasang kat kereta or laptop ;)

4.4.11

~Hanya dengan sebuah senyuman... :) ~

Alhamdulillah, selesai sudah exam OSCE short cases (10 spots) Internal Medicine yang dicuakkan selama ni. Macam2 kisah dan ragam yang dialami saya sendiri, begitu juga yang diceritakan oleh sahabat2 lain. Maklumlah, exam ni, komunikasi 3 hala, antara saya dan pesakit, dan juga antara saya dan Professor yang memerhatikan kemahiran kami di setiap spot yang ada.


Beberapa hari sebelum exam, saya bertanya dan bertukar pendapat dengan sahabat2 yang sekarang ni dalam Surgery department. Mereka bercerita pasal exam OSCE ni, dan saya pula bercerita tentang exam OSCE Surgery yang pernah saya lalui dulu. Dan hasil tukar2 pengalaman ni, sedikit sebanyak, dapat memberikan gambaran untuk masing2 bayangkan, situasi pada hari exam nanti.


Sepanjang menunggu exam tadi, cuaknya, tak terkata. Menanti giliran kumpulan saya (kumpulan ketiga). Dalam masa yang sama, dah berapa kali pusing nota, dan juga menanti sesuatu pada handset saya. Pesanan Abah, Mak dan arwah Embah saya tak lupa amalkan. Huhu, cuak!!!!!!


Tibalah masanya saya masuk wad 1 (kumpulan kena pecah dua). Dan berikut adalah senarai spot yang saya dapat.....


Spot 1 : Palpate the spleen (memeriksa limpa dengan tangan). 
Pak cik ni sangat sakit (tak sampai hati nak buat deep palpation, sebab masa buat superficial palpation pun dia dah sakit). Tapi, saya lupa sangat nak buat point yang paling simple sekali.... Tutup semula bahagian yang kita palpate tu (sebab nak palpate, kena selak baju dia, dan saya lupa nak tutup balik bahagian tu). 


Sebab silap saya di spot 1 saya perasan awal2, jadi saya pastikan yang saya tak ulang lagi silap ni pada spot seterusnya.


Spot 2 : Examine the hand.
Pak cik ni ada tanda2 awal untuk Rheumatoid Arthritis. Tapi kan, saya tersasul kat sini. Saya tercakap "May I see your hand" in ENGLISH. Tapi lepas tu cepat2 cover balik cakap dalam Arab Ammi semula. Tak taulah Prof perasan ke tak. Hoho.


Spot 3 : Inspect the abdomen (periksa badan dengan mata). 
Bila ingat2 balik, saya lupa point, divercation of recti and hernial orifice, dan respiratory movement.


Spot 4 : Inspect the lower limb
Terus terang, saya tak berapa tumpu sangat untuk bahagian ni. Tapi mujur Prof bagi leading questions.


Spot 5 : Check the pulse
Pulse mak cik ni sangat2 lemah (hampir2 tak dapat rasa). Tapi bila buat equality (kesamaan nadi di dua2 belah), rupanya sebelah lagi tu lagi kuat. 


Spot 6 : Examine the thyroid
Ha, kes ni. Al kisahnya, kami dalam unit Nephrology hanya pernah dapat kes ni SEKALI sahaja masa round. Alhamdulillah, dengan pengalaman 'berguru' dengan Prof2 Unit Head and Neck masa posting Surgery dulu, saya aplikasikan examination untuk thyroid, yang pernah saya belajar masa Surgery dulu untuk pesakit ni. 


Spot 7 : Auscultate the chest (dengar bunyi nafas pada dada dan belakang dengan stethoscope).
Dengar depan belakang, tarik lepas nafas. Dengar bunyi 'rumah hantu' (description untuk mudah ingat). Dan di sini, saya lupa satu point. Lepas present result pada Prof, Prof tanya, where is the VR (Vocal resonance)?? Dan saya, alamak. Sengih2 kat Prof, "I missed it". Dan Prof bagi leading question untuk VR.


Spot 8 : Take the blood pressure.
Memandangkan pak cik ni, pakai baju lengan panjang, jadi lengan bajunya tak dapat selak habis, maka saya tak dapat nak letak cuff betul. Dan, saya terlupa, untuk deflate cuff tu.


Spot 9 : Examine the deep sensation of the lower limbs.
Ni lagi satu, sebab saya dengar bunyi tuning fork sejak tadi, jadi mindset, deep sensation = vibration (guna tuning fork). Sedangkan, deep sensation, termasuk joint movement and position (saya lupa nak buat, dan lepas tu saya teringat, tapi sebab saya dah tutup balik dah kaki pak cik ni dengan selimut, jadi saya tak dapat nak buat semula sebab Prof dah bagi soalan). 


Spot 10 : Auscultate the mitral area (kawasan degupan jantung paling kuat).
Mungkin ni, spot last saya, jadi soalan saya di sini agak simple la. 


Dari spot pertama, sampai spot terakhir, macam2 ekspresi Prof ada. Serius, dan yang manis dengan senyuman. Dan dua spot yang saya teringat lagi sampai sekarang....


Spot 2 dan Spot 7. Kenapa???


Sebab Prof ni sentiasa tersenyum. Tersenyum, dan memberikan respon yang positif, meskipun ada yang tersilap, tapi mereka tersenyum dan membetulkan silap itu. 


Bukan bermaksud Prof yang berwajah tegas dan serius, tak berikan respon yang positif atau marah kalau buat silap. Cuma, hanya dengan sebuah senyuman, perasaan cuak yang bersarang dalam hati, hilang. Keyakinan yang mula merudum jatuh, naik semula. Hanya dengan sebuah senyuman, saya berusaha lagi untuk buat yang terbaik, untuk yang seterusnya. 


Ye, dalam semua perasaan yang negatif yang kita alami, senyuman penawar yang terbaik. Baik kita yang tersenyum, mahupun melihat orang lain tersenyum. Dan hanya dengan sebuah senyuman, mampu menghilangkan segala gusar di hati.


Healing, a simple act of kindness brings such meaning, A smile can change a life let’s start believing, And feeling, let’s start healing.
(Healing by Sami Yusuf)

Saya yakin, pasti sahabat2 saya juga pernah rasa apa yang saya rasa, apabila menghadapi situasi exam seperti ini. Apa pun, memandangkan exam OSCE ni dah lepas, tawakkal kepada-NYA adalah langkah yang seterusnya. Dan jangan berhenti berusaha untuk yang akan datang.

Selamat menjalani imtihan ini dengan tabah, tenang dan sabar ;)

Nota Medik 1 : Rheumatoid arthritis
Penyakit autoimmunity, yang selalu menyerang bahagian sendi pada tangan dan kaki di kedua-dua belah (tidak akan melibatkan sendi tulang belakang). Kesakitan dan susah untuk bergerak lebih dirasai pada waktu pagi (morning stiffness). Pada mulanya, akan menyerang sendi yang paling hujung (Proximal interphalangeal = sendi tengah pada jari kita) dan akan naik sampailah ke atas. Terdapat Rheumatoid factor (antibodi) pada pesakit ni, memungkinkan pesakit ni juga akan menghadapi komplikasi pada kawasan lain (jantung, peparu, ginjal dll). Ubat yang kebiasaan diberikan, steroids (yang akan menyebabkan komplikasi lain pula, akibat pengambilan ubat ni dalam jangka masa panjang, contoh - osteoporosis).

Nota Medik 2 : Deep sensation test (Vibration, joint movement and positioning).
Mereka yang menghidap kencing manis (Diabetes mellitus), akan mengadu rasa kebas, sakit dan tak selesa, terutama sekali pada bahagian kaki. Pada mulanya, mereka akan merasai kebas dan sakit yang biasa2, kemudian akan sampai satu tahap, mereka akan merasai kesakitan dan kebas yang teramat sangat. Dan tahap terakhir, sakit tu hilang. Namun, kebanyakan pesakit akan salah anggap, kesakitan yang hilang ni, adalah sebab mereka dah sembuh. TETAPI sebenarnya, apabila sakit tu hilang, bermakna sensory function nya juga hilang sama (tak rasa apa2 pada kaki). Deep sensation test ni dibuat di kedua-dua belah kaki atau tangan, untuk lihat sejauh mana kawasan kaki dan tangan kita yang tak ada sensory function, kerana mungkin akan membawa kepada komplikasi lain pula (untuk langkah berjaga-jaga). Semua keadaan ni adalah Symmetrical Sensory Polyneuropathy (komplikasi kencing manis).



p/s 1 - Exam OSCE ni, sebenarnya banyak bergantung pada nasib, dan rezeki. Lain orang, lain kisahnya. Namun itu semua, adalah ujian yang disandarkan pada imtihan ini, daripada-NYA.

p/s 2 - Sesuatu yang saya tunggu pada handset dari pagi, akhirnya sampai juga petang tadi. Terima kasih Abah, Mak dan Adik2, kerana membuatkan Tin tersenyum :)

1.4.11

~Jejak cita~



Berdiri aku disini
Menatap mentari terbit lagi
Membawa cahaya menerangi hari
dan saat itu masih ku nanti

Kita sama punya cita
Yang menunggu dihadapan sana
Biarpun berliku ditempuh jua
Cekal dan tabah azimat jiwa

Tika ujian datang menduga
Tiada berputus asa dan kecewa
Andainya rebah bangkit semula
Berserah mengharap RahmatNya

Sama melangkah seiringan
Mengejar sebuah impian
Dengan semangat keyakinan
Menuju ke arah kejayaan
Bertekad penuh keazaman
gemilangkan pasti digenggaman

Jangan lupa memohon padanya
Tawakal boedoa sentiasa
Dialah penentu segala
Apa dikurnia ada hikmahnya

Disana tiada jalan yang mudah
Hanya yang sabarkan terus melangkah
Berbekal keimanan didada
dan usaha pasti akan berjaya... 
Berjaya

Lagu ini tentang kita......Tidak kira, jauh mahupun dekat kita mengembara....Tapi kita semua, berusaha untuk megejar impian yang sama :)


p/s - sebelum mainkan video ni, sila 'pause' kan dulu lagu di bawah blog ni.

25.3.11

~Seminggu...~

Alhamdulillah, dah hampir seminggu kami semua pulang ke sini. Mungkin ada antara kami, yang lebih dari seminggu, dan ada juga antara kami yang belum sampai seminggu. Tapi apa pun, kebanyakan kami semua selamat sampai sini, menyambung semula segala yang tertunggak.


Apa perkembangan terbaru di sini????


Masa dalam perjalanan balik dari Cairo ke Alex, ustaz yang mengiringi kepulangan kami sekadar bercerita ringkas. Parlimen sudah dibubarkan. Ketika kami sampai, masa tu pungutan suara baru sahaja dibuat. Apa keputusannya, Wallahu'alam. Moga ianya yang terbaik buat warga Misriyyin. 


Curfew = Perintah berkurung (Qila salah dengar, cakap perintah berbaju kurung..hehehe), masih lagi ada, bermula pukul 12 tengah malam sampai 6 pagi. Tapi bagi kami pelajar akhawat = perempuan, disarankan untuk berada di rumah sebelum Maghrib, dan tidak keluar jika tiada hal yang mendesak. Ustaz tu cakap, jika ada demo sekalipun, mereka tidak akan mengganggu kami warga asing, tapi yang mengancam keselamatan kami, ialah saki baki penjenayah yang mungkin masih lagi bebas. Jadi, semua diminta sentiasa berhati-hati.


Alhamdulillah, setibanya di Alex, dan lepas sampai rumah, berita mengejut yang diterima, esoknya kami sekuliah akan ada kelas revision OSCE, yang diawalkan seminggu. Tak sempat nak rehat betul2, saya sudah ke library dan kelas. Tapi, mungkin disebabkan perubahan cuaca yang agak mengejut, semalam saya ter'demam'. Tapi, hikmah di sebalik demam, hilang rasa pening kepala yang saya alami, sejak balik semula ke sini. Mungkin lepas ni, saya boleh study dengan lebih tenang dan selesa. 


Hari kedua saya dan housemate, Zatil ke library fakulti, untuk study sebelum kelas revision, kami semua terkejut dengan bunyi bising2 di ruang legar bangunan CC (Convention centre). Berpeluang jugalah kami semua di sini, nak tengok mahasiswa, dan mahasiswi Misriyyin, buat demonstrasi. Menurut senior, katanya nak minta Vice dean turun. Dan juga adalah terungkit tentang ketidaksamaan layanan antara mahasiswa Misriyyin, dan juga mahasiswa antarabangsa, terutamanya kami mahasiswa Malaysia.


Saya tak pasti kalau semua permintaan mereka dalam demo hari tu diterima atau tidak, kerana masa tu kami semua dah kena bergerak ke hospital. Di hospital lak, pesakit2 yang kebanyakannya sama, seperti masa sebelum cuti dahulu, seronok tengok kami datang belajar semula. Ada yang masih ingat lagi kami, angkat tangan dan senyum kepada kami. Prof dan doktor resident juga, terpaksa sabar mengajar kami, memandangkan kami semua dah lama tak praktis skills, dan juga ingat2 lupa apa yang berkaitan dengan cases yang diambil.


Cuaca, sepanjang seminggu, kejap panas sejuk. Tapi anginnya, huhu, sejuk sangat, walaupun matahari terik. Mungkin sudah mula perubahan musim sejuk kepada musim bunga. Dalam rumah, memang sejuk, masih lagi pasang heater dalam bilik. Harga barang pula, errmmm, tak tau nak cakap macam mana. Ada yang naik, dan ada juga yang turun, dan ada juga yang tak berubah. Tapi, naiknya, naik dalam 50 piasters gak la. Sebenarnya, ingatkan, harga barang banyak turun.


Apa pun, Alhamdulillah sepanjang seminggu ni, tiada apa2 yang berlaku, melainkan demo dalam universiti, dan juga mungkin, berlaku demo2 kecil di luar sana, namun tidak mengganggu ketenteraman kami. Cuma, sebagai langkah berjaga-jaga, kami semua mesti menjaga keselamatan diri dan juga harta kami daripada penjenayah, atau lebih spesifik lagi, perompak.


Sekarang ni, tugas saya dan juga rakan2 seperjuangan, hanyalah study dan study dan study, dan dalam masa yang sama, tidak mengabaikan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Buat adik2 juniors pre-clinical, mereka sudahpun bakal memulakan semester baru mereka hari esok. Namun bagi kami seniors clinical year, ada peperiksaan menanti, sebelum dapat memasuki semester baru, InsyaAllah pada pertengahan April nanti. Doakan kami semua ;)


*****
Sekadar berkongsi petikan artikel menarik di sini. :-



"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "

Kemudian, si tabib itu menjelaskan:

"Ambillah sepuluh macam ramuan: 

  • Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  • Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  • Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  • Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  • Masukkan dalam kuali taqwa,
  • Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  • Didihkanlah dengan api mahabbah,
  • Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  • Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  • Lalu minum dengan sudu pujian.


Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." 

- Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi

Selanjutnya boleh di baca di sini. ;)

21.3.11

~Belajar untuk menerima....~

Insan.... Mudah lupa.....


Saya adalah seorang insan......


Maknanya, saya juga seorang yang mudah lupa....


Apabila datang sebuah dugaan, saya terlupa untuk bersyukur, lantaran terus mengeluh.


Apabila datang sebuah kebahagiaan, saya terlalu asyik dengan kebahagiaan itu, sehingga saya terlupa untuk berterima kasih pada-Nya.


Apabila saya berhajatkan sesuatu, saya terus berusaha dan berusaha untuk mendapatkannya, sehinggakan saya terlupa, untuk meletakkan tawakkal saya selepas saya berusaha.


Dan dalam banyak keadaan, saya terlupa, untuk menerima semua yang telah ditakdirkan kepada saya......


Sehinggalah.......


Saya tahu, semua yang berlaku, saya perlu belajar dan belajar menerima.....


Saya perlu menerima semua perubahan yang berlaku....


Saya perlu belajar untuk menerima sesuatu hakikat....


Saya perlu belajar menerima, bahawa tidak semua perkara yang saya ingini, akan saya dapat....


Saya perlu belajar menerima nasihat2 yang diberikan kepada saya...


Saya perlu belajar menerima kehadiran mereka di sekeliling saya, dengan ragam dan keletah masing2....


Meskipun, pada akhirnya, kita akan kembali seorang juga, di tanah perkuburan masing2, tapi sepanjang hidup kita di dunia, kita sentiasa berteman. Keluarga, sahabat, teman dan manusia2 yang juga sama2 hidup di atas muka bumi yang sama. Jadi, saya perlu belajar untuk menerima kehidupan bermasyarakat.


*****
Sekadar mengisi masa lapang petang, sementara merehatkan fikiran yang sedikit penat. Penat sebab jet lag lagi, dan penat sebab baru balik kelas revision.


Pengumuman juga, saya tengah deactivate FB. Perlu tumpukan perhatian kepada peperiksaan yang bakal mendatang, tapi jujur saya cakap, saya seronok kelas revision hari ni, walaupun tak berapa nak bersedia.


Walaupun FB deactivate, blog ni masih lagi bergerak, cuma tak sekerap manalah. Apabila datang mood, baru update. 


Selamat study ;)

12.3.11

~Dunia pun dah mula 'sakit2'...~

Sekarang ni saya ada di lobby hotel, dah bayar untuk wi-fi sehari, jadi baik gunakan sebaiknya. Hehe. Lagipun nak tengok emel dan FB, takut ada apa2 update lagi.


Sepanjang hari semalam, hujan langsung tak berhenti. Mula2 masa ikut Abah ambil Adik kat Seremban dan Jempol, hujan je. Duk kat front seat sebelah Abah yang tengah drive, menggigil je. Sejuk tak terkata.


Kemudian, balik ke rumah, kemas2 barang, tunggu Abah dan Arip solat Jumaat dulu, kemudian, bergerak ke Terengganu pula. Sepanjang jalan ni juga, hujan, lebat tak lebat, tapi tak pernah putus. Berhenti kat Temerloh sekejap, pun tengah hujan lebat. Best thing, payung langsung tak de dalam kereta. Hehe, tertinggal kat rumah dan kereta satu lagi. Adoi, redah hujan lah kami semua.


Dah sampai ke destinasi pun, hujan masih lagi belum berhenti. Dan masa itulah, kami semua dapat tahu tentang kejadian yang menimpa negara 'Matahari Terbit', Jepun. Gegaran 8.9 skala Richter, diikuti ombak tsunami setinggi 10 meter. Hasilnya, padang jarak, padang tekukur. Tiada apa yang dapat dilihat, melainkan kemusnahan.


Sebelum ni, gempa bumi di Christchurch, New Zealand. Tahun lepas pernah berlaku gempa di sana. Tahun ni terjadi lagi. 


Di Malaysia sendiri pun, banjir di sana sini. Begitu banyak bencana alam yang berlaku sekarang ni. Bumi dan alam sekarang ni dah mula masuk fasa 'sakit2'. Cuma tengok pada teruk atau tak je.


Manusia sakit, ada penyakit, yang ada ubat dan penawarnya. Kalau bumi sakit?


Wallahu'alam. Saya hanya mengeluarkan sedikit persoalan. Jawapannya, bolehlah masing2 fikirkan.


******
Keluar tajuk. Tarikh kepulangan saya, berubah lagi, tapi tak kompem. Paling terbaru, 19hb Mac, tapi akan kompem dalam hari Selasa ni. Errmmm, masalah sekarang ni ialah, nak dapatkan kebenaran mendarat di sana. Tu yang tarikh asyik nak berubah. Sabar sahajalah. Apa2 pun, doakan perjalanan kami pulang ke sana selamat dan lancar.


*****
Doakan juga sahabat2 yang berada di kawasan bencana selamat. Moga Allah sentiasa bersama dan melindungi mereka. Amiin.

9.3.11

~Jalan penuh berliku....~

Sejujurnya, sepanjang OPS Piramid, cuti kecemasan, sampailah OPS Piramid Reverse (kalau LORD dah namakan OPS Terkejut, OPS Mengejut, OPS Surprise, OPS Pocot dan macam2 lah), segalanya tidak semudah yang disangkakan. Boleh dikatakan, memang sepanjang tempoh ni, tahap kesabaran adalah tersangat tinggi.


Pada mulanya, semua diuji dengan bagaimana, bila dan di mana kami akan dikeluarkan dari Mesir. Versi pertama, guna jalan darat ke Libya (yang sekarang ni pergolakannya jauh lebih dahsyat daripada Mesir). Versi kedua, naik kapal laut TLDM semua. Dan akhirnya, seperti yang semua sedia maklum, kami semua dibawa keluar menggunakan kapal terbang ke Jeddah, dan kemudian ke Malaysia. 


Dah berada di Malaysia pula, dugaan bagi kami yang belum lagi menghadapi peperiksaan, ialah nak STUDY. Semua dalam keadaan tanda tanya, exam bila, bila nak balik ke Malaysia, tiket sponsor ke sendiri (kalau sendiri, memang cekik darah, sebab sebulan sebelum ni, tiket dah melambung dekat RM2000++ kot). Alhamdulillah, dapat hubungi Prof semua, dapatlah juga berurusan dengan Prof untuk exam. 


Timbul pula pelbagai persoalan, berkenaan visa. Macam2 versi ada. Pada asalnya, tiket dah sedang elok 17hb. Kemudian, nama hilang dalam senarai. Lepas tu, nama dalam waiting list pula. Dan ALHAMDULILLAH, moga inilah yang tetap, secara rasminya, saya balik 16hb. Tapi kan, saya seorang je dalam imarah saya yang balik pada tarikh itu. Dugaan juga tu, tak apalah, gayanya saya akan tumpang rumah kawan2 yang terdekat.


Alhamdulillah, jadual exam dan semester 2, dah diterima oleh pihak universiti. Alhamdulillah, sahabat2 satu batch juga, selesa dengan jadual itu, lagipun, itu adalah hasil gabungan daripada pilihan2 mereka juga. Apa2 pun, tengoklah di sana macam mana, moga tiada apa2 perubahan.


Untuk sampai ke hari ni, pelbagai yang mesti diharungi. Pernah sekali, saya tak menang tangan, perlu membalas mesej kawan2, perlu melayan call kawan2. Ada yang saya layan acuh tak acuh, ada yang saya teremo gak la, minta maaf ye kepada sesiapa yang terkena. Mungkin  sebab angin saya tidak berapa baik.


Saya berharap sangat, sekembalinya saya di sana, saya ingin 'lahir', menjadi seorang yang baru. Saya harap, saya dapat kawal emosi saya sebaiknya. Saya dapat mengawal diri saya dalam apa jua keadaan. Saya dah melalui segala macam dugaan di sini, jadi, mungkin saya boleh hadapinya di sana pula.


Kepulangan saya ke sana, dengan harapan, agar kami semua dilindungi, dan selamat. Keadaan di sana masih lagi tidak sebegitu baik, tapi, sekiranya kami pandai menjaga diri, InsyaAllah, selamat daripada segala yang tidak baik. Apa2 pun, teruskan berdoa, dan juga doa.


Exam masih lagi belum lepas. Itu je benda yang perlu difikirkan sekarang. Buku dah ada (baru dapat), cuma, masih lagi tidak dapat nak buka lagi. Mungkin, macam2 yang bersarang dalam fikiran. Apa2 pun, chaiyok, chaiyok, chaiyok. :)


Ok lah dulu. Tentang OPS Piramid yang tergendala, akan update kemudian. Mungkin bila dah balik sana kot baru nak update. Ni pun hanya sekadar luahan yang terpendam. 


PEACE <3

24.2.11

~29 Januari 2011 - Keadaan tak seperti yang dijangka..~

Masih lagi tiada hubungan dengan dunia di luar sana awal pagi itu. Internet, dan connection handset, masih lagi kena block. Sempatlah juga study satu dua bab pagi tu. 


Dalam tengahari, aku dan Fiza sama2 terkejut. Handset yang tengah dicas berlagu-lagu. Eh, dah ada line?? DAH ADA LINE DAH. Farhana dari Kaherah telefon. Bertanya khabar kami di sini. Dan juga meminta tolong, untuk cuba hubungi adik kepada ahli baitnya yang merupakan juniorku di sini.


Aku terus mengirimkan mesej untuk Abah dan Mak, memaklumkan yang aku sudah ada line. Dan aku menerima mesej balas daripada Mak, yang membuatkan aku tercengang sekejap….


“Tin macam mana? Stok makanan yang Abah suruh buat tak? Curfew tu melibatkan korang juga ke?” - Mak


Aku tanya ahli baiku yang lain, kita ada curfew ke??? (Curfew = perintah berkurung). Dan ketika itu, ada yang baru dicontact oleh rakan2 lain, memberitahu yang curfew bermula sejak dari semalam dari pukul 6 petang sampai 7 pagi (sedangkan, ada yang keluar, waktu curfew yang kitorang tak tahu ni).


Aku minta Mak telefonku di sini. Dan Alhamdulillah, Mak telefon, dan leganya dapat dengar suara Mak (dan Mak juga lega mendengar suaraku). Banyak yang Mak beritahu tentang apa yang disampaikan dalam berita di Malaysia. Abah pula, memintaku dan ahli bait, membuat stok makanan untuk selama mana yang boleh. Abah cakap, dia ada reply mesejku di Facebook, tapi faham yang aku tak sempat nak balas.


Selepas Zohor, aku dan Zatil ke pasar membeli barang keperluan rumah. Sekali dengan jiran bawah kami. Hasanah dan Nena pun keluar juga, membantu kami serba sedikit. Fiza pula ada urusan yang perlu diselesaikan di hospital dan universiti. Tinggal Shila dan Alliah, menunggu kami pulang dari pasar.


Keadaan nampak sangat terdesak di pasar. Tak pernah tengok, pasar sesesak itu, walaupun pasar biasanya sesak. Harga barang naik. Ayam dah habis. Daging pun dah tinggal sedikit. Terjumpa dengan Gig dan ahli bait dia, katanya dia dari kedai ayam di bahagian bawah pasar. Katanya ayam baru sampai, tapi orang semua berebut-rebut. Dengan pembekal dan penjual pun bergaduh juga. Ramai juga sahabat2 lain yang kami terserempak di pasar.


Penjual2 semua tengah dalam keadaan terdesak, menjual semua barang2 dalam tempoh bebas daripada curfew. Telur yang display pun telur putih (itik) sahaja. Ada disorok telur merah (ayam), tapi dijual mahal. Kesian pada mereka yang tidak berkemampuan, seperti Hasanah dan Nena yang terjumpa seorang nenek dengan cucunya, yang hendak membeli telur, tapi tidak cukup duit. Ingin juga mereka tolong belikan buat nenek ni, tapi tak jumpa nenek tu semula.


Aku dan Zatil ke kedai runcit, membeli beras, sabun, gula, minyak dan tepung. Biasanya, aku beli barang di situ, dalam masa beberapa minit sahaja. Kali ni mengambil masa, sampai dekat setengah jam lebih. Semua orang berpusu-pusu membeli dan membayar barang. Ada yang bergaduh tentang harga barang. Aku menunggu dan menunggu dan menunggu sampailah pekerja kedai tu, menghentikan tauke kedainya, dan meminta agar menguruskan urusanku dahulu. Alhamdulillah, terima kasih pak cik. (Bukan tak nak cakap kat tauke untuk kirakan harga barangku, tapi keadaan sangat sibuk dan terdesak).


Selepas ke pasar, singgah ke farmasi sekejap, beli bekalan ubatan yang diperlukan. Kat situ, aku dan Zatil dapat tengok sekejap apa yang ditayangkan di TV. Demonstrasi, rusuhan, semua tunjuk dalam tu. Itulah yang berlaku selama ini. Dalam mencari roti pula, kami terserempak dengan Fiza, katanya tengah mencari kami, sebab khuatir jika ada apa2 berlaku. Katanya, ada banyak benda yang dia nak beritahu, sebabnya, masa dia kat universiti, dia terjumpa Abang Rahim (pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah). 


Balik rumah, semua yang telah disampaikan oleh Fiza, aku sebarkan kepada kawan2 lain, mengikut rumah. Mujur juga aku pesan kat Aida dan MekTi (jiran bawah) topup LE 100. Dan dalam masa ini, kami dapat tahu, yang kemungkinan, air dan elektrik akan dicatu (tambah lagi satu masalah). Ahli bait yang lain mula menadah air masak dan juga air untuk kegunaan harian, manakala aku masih lagi dalam usaha menghubungi kawan2 yang lain (mujur juga ambil rekod kawan2 batch awal tahun baru2 ni). 


Antara yang diceritakan oleh Fiza, katanya, memang dalam perjalanan nak ke universiti, ramai tengah berkumpul untuk rusuhan itu. Dengan bangunan yang terbakar di sana sini, menyebabkan keadaan sangat tegang. Sekatan jalan masa nak ke universiti pun banyak. Mujur juga pakcik teksi yang membawanya 'akal panjang' dalam mencari route ke universiti.


Fiza sempat berjumpa dengan seorang doktor resident kat Unit Head and Neck, Surgery. Menurutnya, keadaan di Wad kecemasan sangat kritikal, disebabkan ramai yang menjadi mangsa multiple gunshot. Dan doktor tersebut sangat menyarankan, agar semua pelajar Malaysia, duduk di rumah dan tidak ke mana2.


Dalam perjalanan pulang, Fiza dihantar oleh 3 orang senior yang menguruskan MTC, yang kebetulan terjumpa kt CC. Abang Rahim memberitahu Fiza serba sedikit tentang keadaan yang berlaku.


Banyak balai polis yang dah dibakar. Dan banyak juga polis yang dah melarikan diri. Dan akibatnya, penjenayah sangat ramai yang bebas di sekeliling. Jadi, keselamatan kami semua, sangat terancam. Tak kira lelaki atau perempuan, dua2 dalam keadaan bahaya. Penjenayah tak kira perompak, pencuri, perogol, bebas merata-rata.


Waktu curfew sudahpun bertambah, daripada 4 petang sampai 8 pagi. Antara taktik penjenayah nak pecah masuk, dia akan ketuk pintu dan menyamar sebagai polis. Jadi, kami semua dipesan untuk langsung tidak melayan jika ada yang mengetuk pintu, dan duduk senyap2. Dan dalam masa yang sama, kami semua kena pastikan semua pintu, tingkap tertutup rapat, dan jangan ada sebarang akses yang memudahkan sesiapa pecah masuk rumah kami. Memandangkan imarah kami, hanya tinggal rumahku dan juga rumah jiran bawah (12 orang perempuan dalam satu bangunan), jadi kami mengunci pintu utama imarah kami, itupun masih lagi terasa tidak selamat.


Antara Maghrib dan Isya’, kami berkumpul, mengumpul kekuatan dengan membacakan surah Yaasin, memohon agar semuanya selamat. Selesai solat Isya’, baru rasa ada keinginan untuk makan, tapi, semuanya terbantut, apabila kami semua terdengar jeritan perempuan. Semua jiran menjengukkan kepala, menengok apa yang terjadi. Tak lama lepas tu, terdengar bunyi libasan kayu yang sangat kuat, dan tak lama lepas tu, senyap. 


Masa kejadian tu, aku dan Fiza sedang berusaha, untuk menutup tingkap bilik kami, memandangkan ada wayar yang menyusahkan kami untuk tutup tingkap. Apabila jadi kes tadi, kami mengambil keputusan untuk putuskan sahaja wayar tu, nasiblah kalau kena marah dengan tuan rumah kami selepas ni. Dan Alhamdulillah, tingkap bilik kami tertutup rapat.


Tengah makan, tiba2, ada kawanku telefon, beritahu yang senior cakap exam kami pelajar tahun 4 dan 5 akan ditangguhkan untuk seminggu, atau dua minggu paling maxima. Katanya senior tu dapat contact Vice Dean, dan Vice Dean memaklumkan sebegitu.


Aku menghubungi Coordinator batch kami, Prof Maha Ghanem. Dengar je suaraku, Prof terus bertanyakan keadaan kami semua student Malaysia. Aku cakap yang kami semua selamat, “safe and sound” di rumah masing2. Beliau pun cakap '”Its more better for you”. Aku terus tanya tentang perihal exam final sem kami semua. Beliau sendiri tidak tahu menahu, sebabnya beliau sendiri tak dapat nak menghubungi rakan sekerjanya tentang hal ini. Dan beliau memintaku tunggu panggilannya beberapa minit lagi.


Aku memandang kosong ke arah skrin laptop yang terpasang, dan juga pada folder aku letak semua lecture yang sepatutnya aku habis study semalam. Nak study, mood hilang entah ke mana. Nak tidur, mata tak ada rasa nak lelap. Nak makan, lapar tapi tiada selera. Dan dalam 3 benda ni, aku memilih untuk makan, sebab dengan makan, dapat memberiku sedikit tenaga, mana tahu boleh study lepas tu.


Baru sahaja habis makan, Prof Maha telefon. Katanya, “MAYBE”. Maknanya, mungkin. Jadi, tak tahulah macam mana keadaan yang sebenar. Lagipun, Prof Maha memang tak dapat nak hubungi rakan sekerjanya tentang perkara ni. Kak Dayah pun maklumkan perkara yang sama juga berkaitan exam. Dan, aku just ambil kata tengah. 


Hasanah datang ke bilik, katanya kawasan kami (Camp Chezar) antara kawasan senarai hitam @ blacklist. Semua perlu berada dalam satu bilik, dan hanya dibenarkan membuka satu lampu sahaja. Untuk rumah kami, bilik Alliah dipilih. Ahli bait yang tertidur, dikejutkan untuk dikumpulkan dalam satu bilik. Meja cermin yang berada di sebelah pintu rumah, dialihkan untuk menjadi penghadang pintu. Rak kasut sebagai sokongan. Sekali lagi, semua tingkap dan pintu balkoni dicek semula.


Setelah betul2 yakin, barulah kami semua duduk senyap dalam bilik. Ada yang study, ada yang sambung semula tidur, dan ada juga yang termenung lagi (tahu2 lah siapa). Aku mengambil keputusan untuk mencatit setiap detik yang dilalui, dalam buku journal yang keluargaku hadiahkan masa hari lahirku yang ke-19 tahun. 


Aku menelefon rakan ikhwah (mereka lebih cepat dapat update, memandangkan rumah mereka ada TV, tak macam rumah akhawat) tentang kawasan blacklist ni. Dia cakap, yang kawasan blacklist secara rasminya, Gami’ Ibrahim (kawasan fakultiku), Manshiyah, Sidi Bishr, Samouha dan tak ingat lagi satu. Tentang kawasan yang aku duduk ni, katanya mungkin ye sebab terjadi tembak menembak (dengar sipi2 kat rumahku). Kiranya kawasan blacklist ni kawasan yang ada potensi untuk diadakan rusuhan. 


Masa telefon rakan ikhwah, aku terdengar bunyi bisnig2, dan suara orang2 arab. Curious nak tahu, aku tanya apa yang terjadi di sekelilingnya. Katanya, pintu imarah utama dah ditutup dan dikunci. Memandangkan rumahnya berada di tingkat bawah sekali, jadi rumahnya dijadikan akses entri exit (apa yang dia cerita dan yang aku dapat dengar dengan jelas). Dan jiran2 arab imarah dia sedang berkawal di situ, dengan parang dan kayu, untuk menjaga imarah daripada penjahat2 yang terlepas. Rezeki dia dan ahli baitnya dapat pengalaman berkawal dengan jiran2 arab sekali.


Setakat update dengan kawan2 sekeliling, yang menghubungi ahli bait yang lain. Beberapa kereta polis, ataupun kereta kebal (tak pasti), dibakar. Jiran2 sekeliling sekarang ni kebanyakannya berjaga menjaga imarah dan juga kawasan perumahan (langkah berjaga-jaga) daripada kes pecah masuk atau rompakan. Rumah Negeri Sabah, dipecah masuk. Di Mandarah (dalam Iskandariah, kawasan pelajar al-Azhar sini tinggal) kes pecah masuk menjadi-jadi. 


Zatil dan Shila cerita, masa sebelum kami semua berkumpul dalam bilik Alliah, diorang sempat juga menjenguk dari tingkap bilik diorang, jiran2 berkawal di hadapan imarah kami. Alhamdulillah, walaupun imarah kami tiada tuan rumah buat masa ni, tapi mereka menjaga juga imarah kami bersama dengan imarah2 yang lain. Alliah pula menelefon rakan arabnya di Samouha, bertanya khabar. Tak hairanlah kalau Samouha termasuk sebagai salah satu kawasan blacklist, kebakaran berlaku di sana sini. Mereka juga dalam keadaan ketakutan.


Jiran lelaki batch yang terdekat, menelefonku. Katanya dia dengar aku tahu banyak benda (itupun gabung update2 dengan yang lain juga). Aku sekadar memberitahu apa yang aku tahu, dan dia pun ada menceritakan kisahnya semasa berjalan di Samouha semalamnya. Memang banyak bangunan terbakar. Dan keadaan kat sana sangat tegang.


Kami juga menerima arahan, untuk mengemaskan barang2 penting dalam satu beg, kerana kemungkinan kami semua dikumpulkan dalam satu kawasan. Pada awalnya, kami rasa macam tak perlu, sebab imarah kami sendiri semua student Malaysia, perempuan seramai 12 orang (6 rumahku dan 6 jiran bawah). 


Aku menelefon kak Nawwar, untuk mendapatkan apa2 update dari asrama. Dan juga serba sedikit tentang pergerakan kami semua berpindah pada hari esok. Kami diberi pilihan pertama untuk berpindah ke imarah Kak Hannah (imarah ni ada sembilan rumah pelajar Malaysia dan semuanya perempuan).


Kebanyakan sudah tertidur. Tinggal aku, Alliah dan Zatil yang berjaga. Mata memang tak boleh lelap, walaupun ada aura mengantuk. Alliah dan Zatil tak dapat study, tak dapat tidur, tengok cerita kat laptop. Aku sambung kejap mencatit apa yang berlaku dalam buku, dan akhirnya, aku dah rasa mengantuk sangat2.


Baru nak terlelap, aku terjaga. Terdengar bunyi riuh2 gaduh, dan tembakan beberapa das. Untuk beberapa kali jugalah. Nak terlelap, terbangun, terlelap, terbangun. Kemuncak sekali, aku terdengar tingkap yang berdekatan bergegar. Ingatkan perasaan, tapi memang ada dengar. Yang mencuakkan aku, belakang rumah kami ada kerja pembinaan, dan sekarang ni, dah separas dengan aras rumah kami. Kalau buka tingkap yang belakang, anggaran dalam selangkah jarak bangunan kami dan bangunan yang nak dibina tu.


Aku mencapai lampu suluh (untuk cahaya dan perlindungan diri). Terketar-ketar juga nak keluar dari bilik tu. Sekali lagi, cek balik satu2 tingkap, dan semuanya Alhamdulillah ok. Masuk semula ke bilik, dan sambung tidur (itupun hanya sekadar tidur2 ayam jelah). Inilah kemuncak, rasa takut kami semua di rumah sendiri.