Pages

24.2.11

~29 Januari 2011 - Keadaan tak seperti yang dijangka..~

Masih lagi tiada hubungan dengan dunia di luar sana awal pagi itu. Internet, dan connection handset, masih lagi kena block. Sempatlah juga study satu dua bab pagi tu. 


Dalam tengahari, aku dan Fiza sama2 terkejut. Handset yang tengah dicas berlagu-lagu. Eh, dah ada line?? DAH ADA LINE DAH. Farhana dari Kaherah telefon. Bertanya khabar kami di sini. Dan juga meminta tolong, untuk cuba hubungi adik kepada ahli baitnya yang merupakan juniorku di sini.


Aku terus mengirimkan mesej untuk Abah dan Mak, memaklumkan yang aku sudah ada line. Dan aku menerima mesej balas daripada Mak, yang membuatkan aku tercengang sekejap….


“Tin macam mana? Stok makanan yang Abah suruh buat tak? Curfew tu melibatkan korang juga ke?” - Mak


Aku tanya ahli baiku yang lain, kita ada curfew ke??? (Curfew = perintah berkurung). Dan ketika itu, ada yang baru dicontact oleh rakan2 lain, memberitahu yang curfew bermula sejak dari semalam dari pukul 6 petang sampai 7 pagi (sedangkan, ada yang keluar, waktu curfew yang kitorang tak tahu ni).


Aku minta Mak telefonku di sini. Dan Alhamdulillah, Mak telefon, dan leganya dapat dengar suara Mak (dan Mak juga lega mendengar suaraku). Banyak yang Mak beritahu tentang apa yang disampaikan dalam berita di Malaysia. Abah pula, memintaku dan ahli bait, membuat stok makanan untuk selama mana yang boleh. Abah cakap, dia ada reply mesejku di Facebook, tapi faham yang aku tak sempat nak balas.


Selepas Zohor, aku dan Zatil ke pasar membeli barang keperluan rumah. Sekali dengan jiran bawah kami. Hasanah dan Nena pun keluar juga, membantu kami serba sedikit. Fiza pula ada urusan yang perlu diselesaikan di hospital dan universiti. Tinggal Shila dan Alliah, menunggu kami pulang dari pasar.


Keadaan nampak sangat terdesak di pasar. Tak pernah tengok, pasar sesesak itu, walaupun pasar biasanya sesak. Harga barang naik. Ayam dah habis. Daging pun dah tinggal sedikit. Terjumpa dengan Gig dan ahli bait dia, katanya dia dari kedai ayam di bahagian bawah pasar. Katanya ayam baru sampai, tapi orang semua berebut-rebut. Dengan pembekal dan penjual pun bergaduh juga. Ramai juga sahabat2 lain yang kami terserempak di pasar.


Penjual2 semua tengah dalam keadaan terdesak, menjual semua barang2 dalam tempoh bebas daripada curfew. Telur yang display pun telur putih (itik) sahaja. Ada disorok telur merah (ayam), tapi dijual mahal. Kesian pada mereka yang tidak berkemampuan, seperti Hasanah dan Nena yang terjumpa seorang nenek dengan cucunya, yang hendak membeli telur, tapi tidak cukup duit. Ingin juga mereka tolong belikan buat nenek ni, tapi tak jumpa nenek tu semula.


Aku dan Zatil ke kedai runcit, membeli beras, sabun, gula, minyak dan tepung. Biasanya, aku beli barang di situ, dalam masa beberapa minit sahaja. Kali ni mengambil masa, sampai dekat setengah jam lebih. Semua orang berpusu-pusu membeli dan membayar barang. Ada yang bergaduh tentang harga barang. Aku menunggu dan menunggu dan menunggu sampailah pekerja kedai tu, menghentikan tauke kedainya, dan meminta agar menguruskan urusanku dahulu. Alhamdulillah, terima kasih pak cik. (Bukan tak nak cakap kat tauke untuk kirakan harga barangku, tapi keadaan sangat sibuk dan terdesak).


Selepas ke pasar, singgah ke farmasi sekejap, beli bekalan ubatan yang diperlukan. Kat situ, aku dan Zatil dapat tengok sekejap apa yang ditayangkan di TV. Demonstrasi, rusuhan, semua tunjuk dalam tu. Itulah yang berlaku selama ini. Dalam mencari roti pula, kami terserempak dengan Fiza, katanya tengah mencari kami, sebab khuatir jika ada apa2 berlaku. Katanya, ada banyak benda yang dia nak beritahu, sebabnya, masa dia kat universiti, dia terjumpa Abang Rahim (pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah). 


Balik rumah, semua yang telah disampaikan oleh Fiza, aku sebarkan kepada kawan2 lain, mengikut rumah. Mujur juga aku pesan kat Aida dan MekTi (jiran bawah) topup LE 100. Dan dalam masa ini, kami dapat tahu, yang kemungkinan, air dan elektrik akan dicatu (tambah lagi satu masalah). Ahli bait yang lain mula menadah air masak dan juga air untuk kegunaan harian, manakala aku masih lagi dalam usaha menghubungi kawan2 yang lain (mujur juga ambil rekod kawan2 batch awal tahun baru2 ni). 


Antara yang diceritakan oleh Fiza, katanya, memang dalam perjalanan nak ke universiti, ramai tengah berkumpul untuk rusuhan itu. Dengan bangunan yang terbakar di sana sini, menyebabkan keadaan sangat tegang. Sekatan jalan masa nak ke universiti pun banyak. Mujur juga pakcik teksi yang membawanya 'akal panjang' dalam mencari route ke universiti.


Fiza sempat berjumpa dengan seorang doktor resident kat Unit Head and Neck, Surgery. Menurutnya, keadaan di Wad kecemasan sangat kritikal, disebabkan ramai yang menjadi mangsa multiple gunshot. Dan doktor tersebut sangat menyarankan, agar semua pelajar Malaysia, duduk di rumah dan tidak ke mana2.


Dalam perjalanan pulang, Fiza dihantar oleh 3 orang senior yang menguruskan MTC, yang kebetulan terjumpa kt CC. Abang Rahim memberitahu Fiza serba sedikit tentang keadaan yang berlaku.


Banyak balai polis yang dah dibakar. Dan banyak juga polis yang dah melarikan diri. Dan akibatnya, penjenayah sangat ramai yang bebas di sekeliling. Jadi, keselamatan kami semua, sangat terancam. Tak kira lelaki atau perempuan, dua2 dalam keadaan bahaya. Penjenayah tak kira perompak, pencuri, perogol, bebas merata-rata.


Waktu curfew sudahpun bertambah, daripada 4 petang sampai 8 pagi. Antara taktik penjenayah nak pecah masuk, dia akan ketuk pintu dan menyamar sebagai polis. Jadi, kami semua dipesan untuk langsung tidak melayan jika ada yang mengetuk pintu, dan duduk senyap2. Dan dalam masa yang sama, kami semua kena pastikan semua pintu, tingkap tertutup rapat, dan jangan ada sebarang akses yang memudahkan sesiapa pecah masuk rumah kami. Memandangkan imarah kami, hanya tinggal rumahku dan juga rumah jiran bawah (12 orang perempuan dalam satu bangunan), jadi kami mengunci pintu utama imarah kami, itupun masih lagi terasa tidak selamat.


Antara Maghrib dan Isya’, kami berkumpul, mengumpul kekuatan dengan membacakan surah Yaasin, memohon agar semuanya selamat. Selesai solat Isya’, baru rasa ada keinginan untuk makan, tapi, semuanya terbantut, apabila kami semua terdengar jeritan perempuan. Semua jiran menjengukkan kepala, menengok apa yang terjadi. Tak lama lepas tu, terdengar bunyi libasan kayu yang sangat kuat, dan tak lama lepas tu, senyap. 


Masa kejadian tu, aku dan Fiza sedang berusaha, untuk menutup tingkap bilik kami, memandangkan ada wayar yang menyusahkan kami untuk tutup tingkap. Apabila jadi kes tadi, kami mengambil keputusan untuk putuskan sahaja wayar tu, nasiblah kalau kena marah dengan tuan rumah kami selepas ni. Dan Alhamdulillah, tingkap bilik kami tertutup rapat.


Tengah makan, tiba2, ada kawanku telefon, beritahu yang senior cakap exam kami pelajar tahun 4 dan 5 akan ditangguhkan untuk seminggu, atau dua minggu paling maxima. Katanya senior tu dapat contact Vice Dean, dan Vice Dean memaklumkan sebegitu.


Aku menghubungi Coordinator batch kami, Prof Maha Ghanem. Dengar je suaraku, Prof terus bertanyakan keadaan kami semua student Malaysia. Aku cakap yang kami semua selamat, “safe and sound” di rumah masing2. Beliau pun cakap '”Its more better for you”. Aku terus tanya tentang perihal exam final sem kami semua. Beliau sendiri tidak tahu menahu, sebabnya beliau sendiri tak dapat nak menghubungi rakan sekerjanya tentang hal ini. Dan beliau memintaku tunggu panggilannya beberapa minit lagi.


Aku memandang kosong ke arah skrin laptop yang terpasang, dan juga pada folder aku letak semua lecture yang sepatutnya aku habis study semalam. Nak study, mood hilang entah ke mana. Nak tidur, mata tak ada rasa nak lelap. Nak makan, lapar tapi tiada selera. Dan dalam 3 benda ni, aku memilih untuk makan, sebab dengan makan, dapat memberiku sedikit tenaga, mana tahu boleh study lepas tu.


Baru sahaja habis makan, Prof Maha telefon. Katanya, “MAYBE”. Maknanya, mungkin. Jadi, tak tahulah macam mana keadaan yang sebenar. Lagipun, Prof Maha memang tak dapat nak hubungi rakan sekerjanya tentang perkara ni. Kak Dayah pun maklumkan perkara yang sama juga berkaitan exam. Dan, aku just ambil kata tengah. 


Hasanah datang ke bilik, katanya kawasan kami (Camp Chezar) antara kawasan senarai hitam @ blacklist. Semua perlu berada dalam satu bilik, dan hanya dibenarkan membuka satu lampu sahaja. Untuk rumah kami, bilik Alliah dipilih. Ahli bait yang tertidur, dikejutkan untuk dikumpulkan dalam satu bilik. Meja cermin yang berada di sebelah pintu rumah, dialihkan untuk menjadi penghadang pintu. Rak kasut sebagai sokongan. Sekali lagi, semua tingkap dan pintu balkoni dicek semula.


Setelah betul2 yakin, barulah kami semua duduk senyap dalam bilik. Ada yang study, ada yang sambung semula tidur, dan ada juga yang termenung lagi (tahu2 lah siapa). Aku mengambil keputusan untuk mencatit setiap detik yang dilalui, dalam buku journal yang keluargaku hadiahkan masa hari lahirku yang ke-19 tahun. 


Aku menelefon rakan ikhwah (mereka lebih cepat dapat update, memandangkan rumah mereka ada TV, tak macam rumah akhawat) tentang kawasan blacklist ni. Dia cakap, yang kawasan blacklist secara rasminya, Gami’ Ibrahim (kawasan fakultiku), Manshiyah, Sidi Bishr, Samouha dan tak ingat lagi satu. Tentang kawasan yang aku duduk ni, katanya mungkin ye sebab terjadi tembak menembak (dengar sipi2 kat rumahku). Kiranya kawasan blacklist ni kawasan yang ada potensi untuk diadakan rusuhan. 


Masa telefon rakan ikhwah, aku terdengar bunyi bisnig2, dan suara orang2 arab. Curious nak tahu, aku tanya apa yang terjadi di sekelilingnya. Katanya, pintu imarah utama dah ditutup dan dikunci. Memandangkan rumahnya berada di tingkat bawah sekali, jadi rumahnya dijadikan akses entri exit (apa yang dia cerita dan yang aku dapat dengar dengan jelas). Dan jiran2 arab imarah dia sedang berkawal di situ, dengan parang dan kayu, untuk menjaga imarah daripada penjahat2 yang terlepas. Rezeki dia dan ahli baitnya dapat pengalaman berkawal dengan jiran2 arab sekali.


Setakat update dengan kawan2 sekeliling, yang menghubungi ahli bait yang lain. Beberapa kereta polis, ataupun kereta kebal (tak pasti), dibakar. Jiran2 sekeliling sekarang ni kebanyakannya berjaga menjaga imarah dan juga kawasan perumahan (langkah berjaga-jaga) daripada kes pecah masuk atau rompakan. Rumah Negeri Sabah, dipecah masuk. Di Mandarah (dalam Iskandariah, kawasan pelajar al-Azhar sini tinggal) kes pecah masuk menjadi-jadi. 


Zatil dan Shila cerita, masa sebelum kami semua berkumpul dalam bilik Alliah, diorang sempat juga menjenguk dari tingkap bilik diorang, jiran2 berkawal di hadapan imarah kami. Alhamdulillah, walaupun imarah kami tiada tuan rumah buat masa ni, tapi mereka menjaga juga imarah kami bersama dengan imarah2 yang lain. Alliah pula menelefon rakan arabnya di Samouha, bertanya khabar. Tak hairanlah kalau Samouha termasuk sebagai salah satu kawasan blacklist, kebakaran berlaku di sana sini. Mereka juga dalam keadaan ketakutan.


Jiran lelaki batch yang terdekat, menelefonku. Katanya dia dengar aku tahu banyak benda (itupun gabung update2 dengan yang lain juga). Aku sekadar memberitahu apa yang aku tahu, dan dia pun ada menceritakan kisahnya semasa berjalan di Samouha semalamnya. Memang banyak bangunan terbakar. Dan keadaan kat sana sangat tegang.


Kami juga menerima arahan, untuk mengemaskan barang2 penting dalam satu beg, kerana kemungkinan kami semua dikumpulkan dalam satu kawasan. Pada awalnya, kami rasa macam tak perlu, sebab imarah kami sendiri semua student Malaysia, perempuan seramai 12 orang (6 rumahku dan 6 jiran bawah). 


Aku menelefon kak Nawwar, untuk mendapatkan apa2 update dari asrama. Dan juga serba sedikit tentang pergerakan kami semua berpindah pada hari esok. Kami diberi pilihan pertama untuk berpindah ke imarah Kak Hannah (imarah ni ada sembilan rumah pelajar Malaysia dan semuanya perempuan).


Kebanyakan sudah tertidur. Tinggal aku, Alliah dan Zatil yang berjaga. Mata memang tak boleh lelap, walaupun ada aura mengantuk. Alliah dan Zatil tak dapat study, tak dapat tidur, tengok cerita kat laptop. Aku sambung kejap mencatit apa yang berlaku dalam buku, dan akhirnya, aku dah rasa mengantuk sangat2.


Baru nak terlelap, aku terjaga. Terdengar bunyi riuh2 gaduh, dan tembakan beberapa das. Untuk beberapa kali jugalah. Nak terlelap, terbangun, terlelap, terbangun. Kemuncak sekali, aku terdengar tingkap yang berdekatan bergegar. Ingatkan perasaan, tapi memang ada dengar. Yang mencuakkan aku, belakang rumah kami ada kerja pembinaan, dan sekarang ni, dah separas dengan aras rumah kami. Kalau buka tingkap yang belakang, anggaran dalam selangkah jarak bangunan kami dan bangunan yang nak dibina tu.


Aku mencapai lampu suluh (untuk cahaya dan perlindungan diri). Terketar-ketar juga nak keluar dari bilik tu. Sekali lagi, cek balik satu2 tingkap, dan semuanya Alhamdulillah ok. Masuk semula ke bilik, dan sambung tidur (itupun hanya sekadar tidur2 ayam jelah). Inilah kemuncak, rasa takut kami semua di rumah sendiri.

10.2.11

~28 Januari 2011 - Terputus hubungan~

Hari kelihatan tenang, seperti Jumaat sebelumnya, sehingga dengan rasminya, internet dan talian telefon bimbit diputuskan. Memang terputus hubungan langsung dengan dunia luar. Yang kami ada hanyalah, kena panggil orang sahaja manual. 


Aku ke kedai sebelum solat Jumaat, sebab katanya selepas solat Jumaat baru nak mula demonstrasi itu. Ada barang2 yang perlu aku beli, keperluanku sendiri. Masa aku keluar, penduduk kawasan ni sedang bentangkan tikar untuk solat Jumaat berhampiran masjid. Mak cik2 berkumpul di tepi jalan, turut bersedia mengambil tempat untuk mendengar khutbah Jumaat. Aku cepat2 ke kedai, sebab bila orang dah mula berkumpul untuk solat Jumaat, risau kena balik semula ke rumah ikut laluan jauh (sebab laluan nak ke rumah dibentangkan tikar untuk solat). 


Terasa ada sedikit kelainan masa keluar pagi itu. Kebanyakan pemuda2 duduk berkelompok, berbicara sesama sendiri. Cuak juga, memikirkan apa yang mereka bicarakan. Berkenaan demonstrasi selepas solat Jumaatkah? Penjual2 juga kelihatan tergesa-gesa semasa aku nak bayar barang2 ku. Mungkin nak solat Jumaat kot. Kadang2 kelompok pemuda tadi bercakap dengan pak cik kedai tu. Lepas tu aku cepat2 balik, duduk senyap2, dan study.


Kami di rumah tertanya, macam mana dan sampai mana agaknya demonstrasi pada hari itu. Kalau macam Selasa 25 Januari baru2 ni, sahabat2 update kat status YM atau Facebook masing2, yang demonstrasi bergerak kat kawasan sekian2. Jadi, kami dapatlah juga mengagak, tempat mana yang boleh kami pergi, dan tempat mana yang perlu dielakkan. Tapi, kami memang terputus hubungan, tak tahu apa2 langsung, apa yang terjadi di luar sana.


Tiba waktu Maghrib, atau Isya’. Tak ingat, masa itu aku dan Hasanah baru nak cedok nasi dan lauk untuk makan malam, tiba2 kami terdengar bunyi mercun (untuk pengetahuan, itu bukan bunyi mercun biasa, itu adalah bunyi senjata). Dan ketika itu, ada dua orang ahli baitku sedang berada di luar, katanya ada janji dengan kawan2 masing2. 


Alhamdulillah, dalam kerisauan ini, terdengar suara ahli baitku pulang. Dua2 sekali. Dan dengarlah diorang cerita macam2.


Antaranya, kereta kebal berbaris kat tepi pantai. Demonstrasi kali ini diadakan di tepi pantai, kalau sebelum ni diadakan di Jalan Port Saed. Dan jauh lebih hebat berbanding hari Selasa baru2 ni. Mungkin keadaan agak tidak terkawal, kereta kebal dan askar dihantar ke situ. 


Jalan Port Saed sangat kosong. Jalan2 sangat lengang, tiada sangat kereta atau teksi lalu lalang. Even trump pun, sudah kelihatan, tiba2 patah balik, mungkin ke stesen utamanya. Kedai2 kebanyakannya tutup (jarang kedai nak tutup, walaupun hari cuti). Pak cik2 yang berada di tepi jalan, seperti kelompok pemuda yang aku jumpa pagi tadi, berbicara perlahan, dan kelihatan mencurigakan (orang lain yang cuak). Ada yang nak keluar ke pasar, terkejut pasar kosong. Hanya tinggal satu kedai buah, itupun nak tutup cepat2, dan jual buah harga agak mahal. 


Setelah semua selamat dalam rumah, aku meneruskan study (bagus juga tiada internet, nak study senang), sehinggalah tiba masa tidurku. 


Sungguh, apa yang berlaku pada hari esoknya, langsung tidak pernah terlintas dalam fikiranku, serta kami semua..............

9.2.11

~27 Januari 2011 - Hari yang tenang ~

Hari terakhir kami di kuliah sebelum study leave untuk 2 minggu. Kami semua baru lepas bersesak-sesak dalam wad, menengok sahabat2 kami menyampaikan assignmentnya.
Terus terang, hari ni nampak tenang sangat. Ye, sempat la juga singgah ‘Mouwafak’ untuk membeli snack untuk study. Semua kelihatan biasa, meskipun beberapa hari sebelum itu, ada demonstrasi, ala2 seperti yang berlaku di Tunisia.


Pada sebelah petang, sempatku menelefon Syifa, sepupuku yang baru sahaja menimang cahaya mata awal bulan hari tu. Kemudian, aku nampak, bestfriend sekolahku online. Lamanya aku chat dengan Ufairah. Banyak la juga kisah yang kami kongsikan.


Ternampak pada status Syafiq Zaharin, yang akan diadakan demonstrasi jauh lebih hebat berbanding hari Selasa baru2 ni. Setelah tanya serba sedikit tentang hal ni, dia bagi aku satu link. Link tu menunjukkan update2 yang sedang dirancang atau berlaku untuk hari esok.


Tak lama lepas tu, Twitter dan Facebook dah mula diblock, seperti yang diberitahu sebelum ini. Tapi mujur, sahabatku di sini hebahkan satu link alternatif, untuk log in Facebook. Dan di situ, segala jenis update tentang apa yang bakal berlaku hari esok, diberitahu dalam tu.


Salah satunya, perkhidmatan internet, dan juga line telefon bimbit akan diblock. Kalau sampai tahap itu, memang sangat parahlah. Kalau internet tu, tak apa lagi, (sebab sekarang ni kami study leave). Tapi kalau line telefon, tak ke seksa. Macam mana nak tahu apa2 kalau keadaan macam ini.


Pada mulanya, aku berkira, samada nak beritahu tentang hal ni kepada familyku atau tidak. Kalau beritahu, tak ke nanti diorang akan risau lebih. Tapi kalau tak beritahu, tiba jadi apa2, Wallahu’alam.


Aku mula memberikan mesej ke Abah, Arip, Arah dan Qila melalui mesej Facebook. Aku memastikan yang ayatku itu, tidak menimbulkan kerisauan yang amat nanti. Dan selepas itu, aku pun, masuk tidur.

~Aman..Selamat....~

Alhamdulillah, sekarang ni, sudah hari kedua aku di rumah. Di tanah air sendiri. 


Ke mana saya pergi sepanjang masa ni?


Dalam masa berbelas hari ni, macam2 benda berlaku. Macam2 pengalaman baru yang kami di Mesir dapat. Macam2 kisah terpahat dalam ingatan kami. Kami semua mempunyai pengalaman yang berbeza, namun semuanya berkisarkan sebab yang sama.


Pada mulanya, kami semua di sana tidak tahu apa2, terutama sekali pelajar perempuan, memandangkan hubungan yang terputus, dan juga tak baca mana2 media massa. 


Dalam keadaan kami asyik perlu stand by, sampai satu tahap, kami di sana mula hilang semangat. Kami dah mula tertekan. Keluarga juga seakan tak percaya, yang kami masih lagi belum bergerak ke Jeddah. Aku tidak terkecuali. Air mata bergenang, cuma dikuatkan hati untuk tidak menangis lagi. Cukuplah sekali, saya tidak mahu Mak menangis, kerana saya menangis.


Catatan2 pengalaman kami, akan saya masukkan satu persatu, mengikut hari dan aturan perjalanannya. Kebanyakannya pengalaman saya sendiri, ada juga saya masukkan kisah pengalaman sahabat2, mengikut apa yang saya dengar, dan diceritakan kepada saya.


********
Syukur ALHAMDULILLAH, segala puji bagi ALLAH, yang memberikan kami usia yang panjang, untuk kami merasai keadaan hidup darurat seperti itu, agar kami semua lebih menghargai keamanan, kedamaian, dan keharmonian yang dikecapi di tanah air sendiri.


Sekalung ucapan terima kasih yang tidak terhingga didedikasikan buat......


Semua pihak yang terlibat dengan OPS PIRAMID, berusaha membawa kami keluar ke tempat yang lebih selamat (ada kawan yang berpengalaman naik kapal Charlie TUDM, jeles gak rasa, hehe). Usaha kalian hanya ALLAH sahaja yang boleh membalasnya.


Buat pihak kedutaan di Mesir (Ustazah Zakiah selaku Atase Pendidikan Iskandariah), Pegawai MARA Timur Tengah (Walid Ustaz Isahak, dan Ayah Ustaz Idris) dan tak lupa Adhoc Tindakan dan Keselamatan PCI, terima kasih kerana berusaha melindungi, dan memastikan kami semua dalam keadaan yang baik serta selamat. Pengorbanan kalian amat besar, dalam melayan karenah kami semua, termasuk panggilan daripada ibu bapa kami di Malaysia :)


Buat ahli bait Qasrun Najihin, dan juga jiran bawah (Fiza, Hasanah, Zatil, Shila, Alliah, Nena, Aain, Syikin, MekTi, Aida, Beta), terima kasih kerana sentiasa bersama-sama dalam memberi kekuatan kepada diri masing2, dalam bersama-sama melindungi Imarah 48 di kala Baba kita tiada. Terima kasih kerana membantu menenangkanku masa emosiku kurang stabil satu hari tu. Buat Alliah, Shila, Zatil, MekTi, Syikin, dan Aida, moga ALLAH mempermudahkan urusan kalian semua pulang ke Malaysia (InsyaALLAH dah tak lama dah).


Buat ahli bait OPS PIRAMID (Epit, Zatul, Ira, Dilah, Asma, Ulum, Nani, Pika, Aindah, Saly, Salwa, Jee, Aniza, Aimi, Tasha, Fira, Ena, Bell, Farah, Ainieza, Adib, Shila, Zatil, Alliah, Ika, Ewa, Diyana, Nurul, Epa, Amal, dan juga kakak Bell, kak Fami), pengalaman kita duduk beramai-ramai seramai 31 (32 masa ada kak Fami), antara pengalaman yang sangat berharga. Bak kata Aindah, mula2 fikir mustahil kita seramai itu menggunakan satu bilik air, tapi apabila dah beberapa hari, tiada yang mustahil kan. Kita bersama-sama mengisi masa lapang, menjaga kebajikan sesama kita, saling tolong menolong, berusaha menguatkan hati sesama kita, dalam menghadapi saat mencabar di sana. Bagi tuan rumah, terima kasih kerana menjadikan rumah kalian sebagai tempat pengumpulan, nak pula rumah ni lah ahli teramai sekali.


Buat rakan2 sebatch, terima kasih kerana mampu bersabar, dalam menanti bilakah, dan bagaimanakah agaknya exam kita nanti. Tentang itu, InsyaALLAH saya cuba setelkan bersama dengan yang lain, selepas seminggu kumpulan last batch kita dari Jeddah, pulang ke Malaysia. Apa yang mampu saya minta, sekiranya sudah mempunyai kekuatan, sudah dapat rehat yang cukup, sudah hilang trauma semua, study semampu boleh. Setakat last saya contact Prof Maha, beliau belum dapat memberi kata putus lagi. Jadi, kita semua sekarang ni, kena stand by sahajalah untuk ni.


Buat rakan2 ikhwah yang pernah membantu kami, menjadi musyrif kami, menolong kami memindahkan barang2 ke rumah pengumpulanterima kasih diucapkan. Walaupun korang sendiri juga terancam dalam keadaan sebegitu di sana, tapi korang tetap membantu, apabila kitorang nak minta tolong.


Buat rakan2 sekolah, dan juga kenalan, terima kasih atas doa dan sokongan kalian semua. Tiada benda lain yang kami semua boleh minta, selain doa, mohon kami semua di sana selamat, dan juga perjalanan pulang kami semua dipermudahkan. 


Dan terakhir, buat ahli keluarga yang tersayang. Terima kasih kerana sentiasa kuat, kerana kekuatan semua, sedikit sebanyak membuatkan Tin kuat juga. Terima kasih atas sokongan, dan juga doa. Tin tahu, keadaan di sana mampu membuatkan semua orang risaukan Tin, tapi Alhamdulillah, ALLAH bagi peluang Tin merasa pengalaman sedemikian, untuk Tin ceritakan kepada sesiapa yang ingin mendengar, agar semua dapat menghargai kehidupan yang selamat dan selesa seperti kini. Terima kasih juga untuk sekuntum kembang merah yang cantik itu :)




********
Catatan ni, saya akan masukkan sedikit demi sedikit. Saya akan cuba masukkan gambaran apa yang kami semua alami, dan apa yang kami semua rasai di sana. Mungkin apa yang saya rasai, tidak sehebat sahabat2 lain, tapi cukuplah untuk semua mengetahui, apa yang terjadi pada sekeliling kami, sepanjang kami semua terputus hubungan dengan dunia luar, buat sementara waktu.


ALHAMDULILLAH :)